KUALA LUMPUR – Peserta “Himpunan Rakyat Bersatu” mula bergerak dari pelbagai tempat pertemuan di sekitar ibu negara ke Padang Merbok, venue bagi acara berkenaan yang juga dikenali sebagai Himpunan ‘Baju Merah’.
Mereka sebelum itu berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Negara, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Kompleks Kraf, Jalan Conlay.
Peserta didapati melaungkan slogan dan memegang sepanduk dan kain rentang yang menggambarkan sentimen mereka.
Sebahagian daripada peserta dilihat memasuki kawasan Bukit Bintang, menyebabkan penutupan sementara sebuah kompleks membeli-belah di situ, sebagai langkah berjaga-jaga.
Himpunan ‘Baju Merah’ dilihat semakin disertai ramai, berikutan keadaan cuaca jerebu di ibu negara bertambah baik yang menampakkan langit cerah hari ini.
Setakat 1 tengah hari tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Lumpur (Stesen Batu Muda) merekodkan bacaan IPU 82, berbanding 142, petang semalam.
BACA: AHMAD MASLAN KONVOI BERSAMA PESERTA HIMPUNAN ‘BAJU MERAH’
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang memakai baju merah menyertai perhimpunan berkenaan di PWTC dan Jalan Conlay.
Pemimpin lain yang turut terlibat ialah Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=ebl5O86wNJg
https://www.youtube.com/watch?v=4SMj_eAj3n8
