KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang akan diguna pakai sebagai panduan dalam memelihara hak asasi manusia di negara ini dijangka akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata kerajaan sudah lama bercadang untuk menubuhkan pelan tersebut, namun disebabkan kekangan dana ia tidak dapat dilaksanakan.
“Pelan ini merupakan program lima tahun dan memerlukan penglibatan ramai pihak. Sebelum ini program (berkaitan hak asasi manusia) hanya dibuat di peringkat kerajaan dan agensi-agensi sahaja.
“Tetapi skop hak asasi manusia itu sebenarnya luas dan kita tidak mampu meluaskan skop capaian kita itu kerana masalah dana sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, di sini hari ini.
Katanya kerajaan telah meluluskan peruntukkan lebih RM4 juta untuk merealisasikan pelaksanaan pelan itu.
Nancy berkata ketika ini kandungan pelan tersebut sedang diperhalusi termasuk dengan membuat kajian secara menyeluruh pelan hak asasi manusia yang diamalkan di negara lain.
Ditanya sama ada Malaysia akan menggunapakai model NHRAP dari negara tertentu, beliau berkata pelaksanaan NHRAP perlu mengambil kira ciri yang ada di negara ini seperti masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama.
“Tidak ada model yang terbaik untuk diguna pakai oleh Malaysia kerana keadaan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Kita perlu mengenal pasti model negara yang hampir sama dengan negara kita, tetapi ia perlu dikaji secara terperinci,” katanya.
NHRAP mengandungi lima teras utama iaitu hak sivil dan berpolitik, hak ekonomi, sosial, agama dan kebudayaan, hak golongan rentan, hak Orang Asli atau Orang Asal serta kewajipan antarabangsa.
Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan pelan NHRAP seperti yang dicadangkan dalam Universal Periodic Review (UPR) yang dikeluarkan Office of the High Commissioner for Human Rights (OHCHR) pada 2009 sebagai usaha berterusan dalam memastikan keberhasilan rangka kerja hak asasi manusia.
Sebanyak 33 buah negara termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, China, New Zealand, Afrika Selatan dan Australia telah membangunkan pelan itu. – BERNAMA
