KOTA BAHARU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan kira-kira RM6.3 juta bagi pembinaan bangunan Unit Tabung Darah baharu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) yang dijangka siap pada 2019.
Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Laila Abdullah berkata ia sebagai persediaan menempatkan bekalan darah di sebuah bangunan lebih moden, sistematik dan luas.
Bagaimanapun, beliau berkata pembinaan bangunan tersebut masih di peringkat awal perbincangan dan memerlukan kelulusan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Setakat ini HRPZII hanya mempunyai bangunan unit tabung darah yang bersambung dengan bangunan hospital ini dan berdasarkan perkembangan semasa, hopsital memerlukan sebuah bangunan yang lebih luas, moden dan lengkap dengan kemudahan untuk prosedur pemprosesan dan penyimpanan darah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Patologi Antarabangsa 2015 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian HRPZII di sini, Selasa.
Dr. Laila berkata bangunan berkenaan juga dijangka akan dibina dalam kawasan hospital berkenaan untuk menampung bekalan darah yang didermakan orang ramai bagi keperluan pesakit.
“Kita harap pembinaan bangunan ini dapat menampung penempatan bekalan beg darah yang semakin bertambah berikutan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan amalan menderma darah untuk membantu pesakit memerlukan,” katanya.
Beliau berkata dengan pembinaan Unit Tabung Darah baharu itu, ia sekali gus akan memberi kelebihan kepada rakyat negeri ini untuk menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Sambutan Hari Patologi yang berlangsung dua hari bermula semalam mendedahkan pelbagai maklumat berguna mengenai rawatan yang disediakan di HRPZII. – BERNAMA

