KUALA TERENGGANU – Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini, harga ikan tongkol atau ikan aya meningkat kepada RM14 sekilogram hari ini berbanding RM8 sebelumnya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, Hasan Ismail berkata kenaikan harga ikan itu antara lain disebabkan bekalan kurang.
Beliau diminta mengulas tentang kenaikan harga ikan tersebut hasil tinjauan Bernama ke beberapa pasar basah di sini hari ini.
Menurut Hasan, bekalan ikan tongkol sekarang berkurangan kira-kira 20 peratus daripada biasa.
Sementara itu, kenaikan harga ikan berkenaan yang menjadi menu utama dalam sajian nasi dagang menyebabkan ramai pembeli yang rata-rata merupakan suri rumah mengeluh. – BERNAMA

