KUALA LUMPUR – DAP terus dikecam hebat oleh peserta Himpunan ‘Baju Merah’ apabila parti cauvinis itu dilabel secara terbuka sebagai ‘Bapa Perkauman’, menurut laporan portal berita mStar pada Rabu.
Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata DAP telah berbohong apabila menyatakan bahawa parti tersebut konon sebagai tidak pernah bersifat rasis.

“DAP jangan temberang, jangan bohong bahawa mereka tidak perkauman. Merekalah ‘Bapa Perkauman’ yang paling rasis dalam negara kita,” tegas beliau.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan peserta Perhimpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok di sini, petang Rabu.
Ibrahim menambah, beliau pernah mengingatkan ramai tokoh PAS dan barisan kepimpinannya tentang hubungan politik yang dijalinkan dengan DAP.
“Saya kata ‘tahaluf siyasi‘ dengan DAP akan makan diri PAS sendiri… sekarang memang dah jadi. Siapa punya angkara kalau bukan DAP,” kata beliau lagi.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula bagi memastikan negara terus aman dan hak Melayu terus dapat dipelihara.
Gesaan yang sama turut disuarakan oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dalam ucapannya terdahulu di pentas yang sama.
Ibrahim turut menuntut agar seluruh hak keistimewaan bangsa Melayu yang pernah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dikembalikan semula.
“Kembalikan semula biasiswa penuh anak-anak Melayu, kembalikan tanah rizab Melayu. Inilah antara tujuh wasiat Raja-Raja Melayu,” katanya. – mStar Online
https://www.youtube.com/watch?v=dEpqgzyaLnQ&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=4SMj_eAj3n8