TAWAU – Sabah Softwoods Berhad (SSB) dan Jabatan Hidupan Liar akan mencari kaedah terbaik untuk memindahkan empat ekor gajah liar yang masih berkeliaran di kawasan ladang SSB, kata Pengurus Kanan Persekitaran dan Konservasi SSB, Ram Nathan.
Katanya kedua-dua agensi berkenaan akan mencari cara terbaik bagi memindahkan gajah liar yang didapati merosakkan tanaman kelapa sawit di ladang SSB dan kebun penduduk.
“Kita akan mulakan kerja-kerja pemindahan gajah-gajah berkenaan dalam masa seminggu dua ini,” katanya ketika memberi taklimat kepada media di pejabat SSB Tawau di sini Selasa.
Menurut Ram, SSB telah membuat satu perancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah gajah liar itu termasuk bekerja sama dengan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk menjayakan projek ‘Koridor Hidupan Liar’ di atas tapak 1,000 hektar yang terletak di antara Ulu Segama dengan Ulu Kalumpang.
Katanya kawasan berkenaan akan dikhaskan untuk hidupan liar seperti gajah dan hidupan-hidupan lain yang menghadapi ancaman kepupusan.
Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Tawau Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya telah melakukan beberapa pemindahan gajah dari kawasan ladang SSB dan FELDA Umas sebelum ini kerana haiwan itu mendatangkan bencana kepada peladang terutama melibatkan tanaman kelapa sawit sehingga boleh menyebabkan kerugian besar kepada peladang dan pekebun.
“Gajah-gajah itu suka memakan pokok kelapa sawit yang berusia muda di antara dua hingga tiga tahun berbanding pokok tua,” katanya.
Bagaimanapun, Soffian berkata setakat ini belum ada laporan mengenai gajah liar itu menyerang manusia di Sabah.
Sementara itu Soffian mengingatkan pengguna jalan raya Tawau-Keningau supaya tidak membunyikan hon ketika terserempak dengan gajah liar bagi mengelak gajah berkenaan terkejut dan bertindak liar. – BERNAMA

