BANGI – Kematangan isi pidato yang disampaikan peserta menjadi faktor penting yang diadili para juri dalam peringkat suku akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015.
Dalam penentuan ke separuh akhir itu, menurut salah seorang juri, Mohd Daud Mat Din yang merupakan naib juara PABM edisi 2007, peserta tidak hanya diadili daripada segi kepetahan bahasa sebaliknya isi yang bermanfaat dan padu menjadi antara faktor terpenting menyebabkan mereka layak ke peringkat separuh akhir PABM bagi kategori Antarabangsa.

“Rata-rata peserta tahun ini mempunyai kualiti ucapan yang sangat baik yang mana mereka turut menggunakan bahasa Melayu dengan baik.
“Kematangan isi yang dalam ucapan yang disampaikan merupakan antara faktor terpenting yang kami ambil kira selain daripada kepetahan berbicara dalam bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pada peringkat suku akhir PABM 2015 yang diadakan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), di sini hari ini.

Daripada 20, kini hanya tinggal 10 yang akan berentap di saingan separuh akhir esok dan mereka yang terpilih ialah Emma Roberts dari Australia, Eiko Akazawa (Jepun), Kabora Floria (Madagascar), Wyatt Gordon (Amerika Syarikat),Nhelbourne Kalim Mohammad (Filipina), Laki A’ron Bence (Hungary), Pavel Naidenov (Rusia), Joshua Parfitt (United Kingdom), Kong Jinlei (China) dan Mariam Coulibaly (Mali).
10 semi finalis kategori Antarabangsa ini akan sekali lagi berentap pada keesokan hari dengan ucapan pidato selama tujuh minit bagi merebut tiga tempat ke pertandingan akhir yang akan berlangsung Sabtu ini.
Selain mereka, lima semi finalis dari kategori Alam Melayu dan 10 semi finalis kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) turut bersaing bergelar tiga finalis dan akan dijalankan serentak pada esok hari.




Pertandingan akhir akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV1.
Johan bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan memenangi Piala Pusingan, Piala Iringan, wang tunai USD$7,000 (RM27,000), hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Naib juara pula bakal membawa pulang Piala Iringan, wang tunai USD$5,000 (RM19,000), hadiah iringan dan sijil manakala tempat ketiga pula memenangi piala iringan, wang tunai USD$3,000 (RM12,000), hadiah iringan dan sijil. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=qU9NJESoJto
Oleh:  JULIANA JOHAR
Foto/Video:  RIZA RAZAK