PASIR PUTEH – Seekor gajah betina liar yang ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Rabu lepas, dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Pahang hari ini.
Pengarahnya Mohamad Khairi Ahmad berkata gajah yang dinamakan ‘Mek Lahar’ itu dipindahkan selepas diberi ubat pelali dan diapit keluar dari kawasan itu bersama dua ekor gajah jinak, ‘Abot’ dan ‘Rambai’ pada 12.30 tengah hari tadi.
“Mek Lahar dibawa dari hutan tempat ia ditangkap dan berjalan sejauh 200 meter ke sebuah tempat yang dibina khas bagi tujuan pemindahan sebelum menaiki lori yang telah disediakan,” katanya ketika ditemui selepas proses pemindahan gajah itu di Jeram Linang di sini.
Mek Lahar dipercayai sebahagian daripada sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan penduduk dan memusnahkan kebun di beberapa buah kampung di sini sejak sebulan lepas.
Mohamad Khairi berkata sebanyak 23 anggota Perhilitan termasuk dari Pusat Konservasi Gajah terlibat memindahkan Mek Lahar yang mempunyai ketinggian kira-kira dua meter dan dianggarkan berusia 10 hingga 15 tahun itu dengan selamat.
“Kita masih memantau sekumpulan lima hingga 10 ekor lagi gajah liar yang masih bebas bergerak dan merayau-rayau di kawasan hutan berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan turut memperuntukan kira-kira RM30,000 bagi kerja-kerja pemindahan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata sejak 2009 sehingga sekarang sebanyak 11 ekor gajah liar telah ditangkap di negeri ini, masing-masing tujuh di Machang dan empat di Pasir Puteh dan kesemuanya dipindahkan ke kawasan jauh dari penempatan penduduk.
Akhbar sebelum ini melaporkan sekumpulan gajah liar bertindak menyerang kebun buah-buahan hingga menakutkan kira-kira 200 penduduk setempat.
Gajah liar berkenaan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Ulu Sat selepas kawasan mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan. – BERNAMA

