PETALING JAYA – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya demam denggi, satu program usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan sektor swasta dilancarkan Jumaat.
Program dikenali sebagai ‘Dengue Mission Buzz Campaign’ itu dilancarkan untuk mendidik orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan titik merah denggi di Lembah Klang, tentang bahaya nyamuk aedes.
Timbalan Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Kementerian Kesihatan, Dr Izwan Effendy Zainuddin berkta pembabitan orang ramai dan pihak berkausa untuk mencegah denggi amat penting dalam mengurangkan kes penyakit itu di negara ini.
“Walaupun pihak berkuasa telah mencuba sedaya upaya untuk mencegah denggi dengan membuat pengkabutan, tetapi langkah ini hanya membantu membunuh aedes dewasa.
“Oleh itu, langkah seperti mencari dan memusnahkan larva adalah penting dan perlu dilakukan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif yang diambil Sanofi Pasteur, SC Johnson Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia adalah satu langkah baik kerana ia membantu mewujudkan kesedaran orang ramai tentang bahaya denggi dan cara mencegahnya.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sejumlah 71,001 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga 3 Ogos tahun ini, berbanding 55,237 dalam tempoh sama tahun lepas.
Di samping itu, kata beliau, sejumlah 192 kematian direkodkan akibat denggi tahun ini, berbanding 104 tahun lepas.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan SC Johnson & Son Asia Pacific Sdn. Bhd., Cristina Ronski berkata mendidik orang ramai adalah suatu langkah penting bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang cara mencegah penyakit itu daripada merebak.
Wabak denggi yang kini semakin membimbangkan, memerlukan setiap orang mengubah sikap daripada reaktif kepada proaktif bagi memenuhi tanggungjawab bersama mereka untuk memeranginya, kata beliau.
Turut dilancarkan ialah trak Dengue Mission Buzz, yang dicipta khas untuk kempen ini.
Trak ini akan menjelajah seluruh Lembah Klang dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk mendidik dan menggalakkan anggota masyarakat mengamalkan langkah pencegahan bagi memerangi denggi. – BERNAMA

