GEORGE TOWN – Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mhd. Nasir Yahya yang dilantik semula ke jawatan itu berhasrat menyertai Gerakan Harapan Baharu (GHB) selepas parti baharu itu didaftarkan.
Namun, buat masa ini Mhd. Nasir berkata, beliau masih lagi anggota Pas sehingga keanggotaannya terbatal selepas beliau menyertai GHB secara rasmi kelak.
“Secara teknikalnya, saya masih anggota Pas, nama saya masih dalam senarai pendaftaran ahli. GHB masih dalam proses pendaftaran dan kemungkinan besar saya akan menyertainya.
“Saya sudah pertimbangkan keputusan ini kerana fitrah saya selari dengan apa yang diperjuangkan GHB,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengakuan penerimaan pelantikan Anggota Majlis MBPP di sini hari ini.
Selain Mhd. Nasir, Dahalan Fazli daripada Pas turut dilantik semula sebagai Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos lepas. – BERNAMA

