PUTRAJAYA – 71 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015) diraikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, di sini hari ini.
Majlis resepsi itu diadakan bagi memperkenalkan kesemua peserta PABM 2015 yang bakal bersaing bagi merebut trofi dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi itu.
Menerusi ucapan beliau dalam majlis tersebut, Rosmah berkata, kejayaan menghimpunkan wakil dari pelbagai negara untuk berpidato dalam Bahasa Melayu sesungguhnya menggambarkan hakikat Bahasa Melayu telah mencapai bahasa sejagat atau global meski pun bukan secara meluas seperti Bahasa Inggeris.
“Sekurang-kurangnya inilah peringkat permulaan untuk meningkatkan Bahasa Melayu ke tahap lebih luas di peringkat antarabangsa.

“Usaha yang sedemikian juga akan meningkatkan imej Malaysia sebagai bukan sahaja sebuah negara yang berusaha keras dalam sosio ekonomi tapi juga berusaha keras untuk memperkasa bahasanya di seluruh dunia.
“Tahniah kepada semua peserta PABM dan sambutan ke atas PABM amat memberansangkan dengan seramai 71 peserta dari enam benua mengambil bahagian,” kata Rosmah.
Pada majlis itu juga, Rosmah berkongsi statistik penggunaan bahasa di dunia di mana penutur Bahasa Melayu pada hari ini dianggarkan berjumlah lebih 300 juta dan Bahasa Melayu merupakan bahasa keempat paling banyak ditutur di dunia selepas Bahasa Mandarin, Inggeris dan Hindi.

Majlis yang berlangsung selama sejam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan penuh berwarna-warni yang pastinya menjadi pengalaman berharga buat peserta dalam mendalami seni dan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.
Selain itu mereka turut dihidangkan dengan pelbagai juadah masakan yang sinonim dengan perayaan Hari Raya iaitu lemang, rendang, sate, soto dan laksa Johor.
Esok, peserta akan mula berentap pada peringkat saringan yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional, Uniten, Bangi. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=-p6rkfjM0JU&feature=youtu.be
Oleh:  JULIANA JOHAR
Foto/Video:  RIZA RAZAKÂÂ




