MELAKA – Sejumlah 700 rakyat negeri Melaka bakal menunaikan haji tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata pada masa ini sebanyak 620 orang sudah menerima surat tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
“Jumlah itu akan meningkat kepada kira-kira 700 orang kerana masih ada lagi jemaah yang masih belum menerima surat tawaran (menunaikan haji) daripada Tabung Haji (TH).
“Saya juga berpuas hati dengan persediaan daripada MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) yang adakan kursus dan membantu persediaan jemaah haji negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Meraikan Bakal Haji dan Hajjah Peringkat Parlimen Tangga Batu di Masjid Tanjung Kling, di sini hari ini.
Idris berkata TH perlu menanggung kos RM7,290 untuk setiap jemaah berikutan peningkatan kos haji kepada RM17,270 pada musim haji kali ini. – BERNAMA