PUTRAJAYA – Penubuhan tribunal oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tragedi Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh, sebelum berakhirnya siasatan jenayah, akan memastikan tribunal itu tidak dipolitikkan.
Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine merupakan negara-negara yang menjalankan siasatan jenayah bebas terhadap tragedi MH17.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata para hakim, pendakwa dan pendaftarakan dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan pendakwa juga akan bebas sepenuhnya serta mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan tambahan.
“Adalah penting untuk Majlis Keselamatan mengambil tindakan yang jelas dan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap nahas MH17 bagi memberikan mesej jelas kepada pelaku tanpa negara yang berkeupayaan menyasarkan pesawat awam, bahawa serangan itu tidak akan diterima.
“Majlis Keselamatan sebulat suara mahukan akauntabiliti. Setelah setahun, masanya kini tepat untuk majlis itu bertindak atas permintaan ini. Keadilan tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Wisma Putra berkata penubuhan tribunal itu pada peringkat ini adalah konsisten dengan amalan Majlis Keselamatan itu sendiri.
“Mahkamah jenayah dan tribunal ad hoc yang lain telahpun ditubuhkan sebelum siasatan selesai,” katanya menambah siasatan jenayah adalah sulit dan penerbitan laporannya tidak akan disiarkan kepada orang awam melainkan kepada pihak berkuasa yang mendakwa.
Pada 21 Julai tahun lepas, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara menerima pakai Resolusi 2166, yang menuntut mereka yang terlibat dalam kejadian itu perlu bertanggungjawab.
Negara anggota yang menjalankan siasatan jenayah bebas terhadap kejadian itu juga sedang mengadakan rundingan rapat dengan semua anggota Majlis Keselamatan bagi mendapatkan sokongan mereka untuk menubuhkan tribunal bebas bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman.
Kenyataan itu berkata siasatan keselamatan udara bebas telah dijalankandengan mematuhi semua garis panduan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Lampiran 13 Konvensyen Chicago.
Pada ulang tahun pertama memperingati tragedi MH17 17 Julai lepas, Ban mengalu-alukan perkembangan yang dicapai siasatan antarabangsa bebas selaras dengan Majlis Keselamatan PBB Resolusi 2166.
Wisma Putra berkata objektif siasatan keselamatan udara itu adalah untuk menentukan punca kejadian MH17 dan tidak bertujuan untuk mengenalpasti sama ada terdapat apa-apa perlakuan jenayah atau mereka yang bertanggungjawab.
Selain siasatan keselamatan udara, pihak penguatkuasa undang-undangAustralia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine telah bekerjasama dalam pasukan siasatan bersama untuk menjalankan siasatan jenayah.
“Siasatan ini komprehensif dan bebas, dijalankan selaras dengan standardantarabangsa tertinggi,” katanya.
Pada 17 Julai tahun lepas, penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh di Ukraine, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal maut, termasuk 43 rakyat Malaysia. – BERNAMA
https://youtu.be/4raufz2sbxk