NIBONG TEBAL – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) hari ini melancarkan perkhidmatan ambulans lebih efisen dan cepat menggunakan sistem komunikasi HEARL (Hospital Emergency Ambulance Radio Link) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cawangan Pulau Pinang, Datuk B J Yeang berkata sistem itu yang berhubung terus dengan hospital kerajaan merupakan perhidmatan terbaik untuk mempercepatkan lagi ketibaan bantuan ambulans.
Katanya orang ramai yang memerlukan perkhidmatan ambulans boleh menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak operator akan menyambungkan mereka dengan hospital terdekat.
“Pihak hospital akan berhubung dengan sukarelawan kami melalui HEARL sekiranya kemalangan itu berlaku berhampiran cawangan perkhidmatan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan ambulans 24 jam sempena Hari Raya Aidilfitri dari 14 hingga 21 Julai di sini.
Yeang berkata perkhidmatan ambulans 24 jam itu dilancarkan bagi meringankan beban pihak polis dan hospital mengendalikan kes kemalangan selain menyediakan rawatan awal dan kecemasan kepada mangsa.
“Kesemua ahli yang terlibat dalam perkhidmatan sukarelawan itu merupakan golongan terlatih untuk memberikan rawatan segera kepada mangsa kemalangan jalan raya sebelum keadaan bertambah teruk,” katanya. – BERNAMA