KANGAR – Perkhidmatan bas henti-henti (MyBas) ke seluruh Perlis dijangka beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Datuk Sabry Ahmad.
Menurutnya, operasi MyBas yang dijadualkan bermula 30 Jun lepas terhalang berikutan masalah teknikal membabitkan operatornya, Mara Liner dengan sub-kontraktor, City Liner yang memberi perkhidmatan bas di Perlis pada masa ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang melantik anak syarikat Mara itu sebagai operator utama mensyaratkan satu syarikat pengendali sedia ada dilantik menjadi sub-kontraktor, kata Sabry.
“Saya difahamkan SPAD telah mengeluarkan sijil layak beroperasi kepada Mara Liner setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama melalui rundingan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sabry berkata MyBas yang mengenakan tambang murah akan memberi perkhidmatan kepada lebih 30,000 pengguna khususnya pelajar sekolah menengah dan universiti di seluruh Perlis.
“Ini adalah projek percubaan kerajaan persekutuan dan akan dilaksanakan selama lapan tahun. Perlis menjadi perintis projek ini,” tambahnya.
Sabry berkata Mara Liner menyediakan 23 buah bas berhawa dingin yang akan beroperasi di semua laluan termasuk destinasi pelancongan dan luar bandar mengikut jadual ditetapkan agar mendapat keyakinan rakyat khususnya pengguna.
City Liner pada masa ini hanya menyediakan perkhidmatan Kangar-Arau dan Kangar-Alor Setar berikutan kekurangan penumpang, kata Sabry.
Menurutnya kerajaan negeri hanya menyediakan hub perhentian dan membaik pulih pondok-pondok menunggu bas. – BERNAMA