SEORANG penuntut lepasan ijazah yang belajar di Universiti Manchester terpaksa tidur di dalam khemah selama 10 bulan selepas tidak mampu untuk menanggung kos sewa rumah atau bilik di sana.
Evan Eames, 24, penuntut bidang astrofizik dari Kanada memberitahu, sebagai penuntut antarabangsa dia perlu membayar yuran pelajaran lebih RM100 ribu sekali gus mendapati dirinya tidak mampu untuk membayar sewa rumah.
Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian dia telah mendapat tawaran serta idea bernas daripada seorang wanita, Charley Mantack, 34, yang memberi peluang kepada Evan untuk tinggal di dalam khemah di kawasan rumahnya.
Sebagai pertukaran, Evan perlu mengajar Charley mata pelajaran fizik dan matematik untuknya menghadapi peperiksaan.
Jadi, Evan telah menjadikan khemah itu sebagai tempatnya berteduh walaupun dilanda angin kencang, hujan dan salji.
Begitu pun Evan menyatakan situasi itu merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan, baginya berkhemah di musim salji tidaklah begitu teruk, cuma dia menghadapi sedikit masalah ketika hari hujan.
Bukan sahaja mampu bertahan di sepanjang pengajiannya, Evan juga telah menemui kekasih hati yang juga mengambil jurusan sama dan adakalanya datang menemani Evan di dalam khemah itu. – MYNEWSHUB.CC



