KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Jelasnya, beliau mendapati pada waktu ini begitu banyak spekulasi mengenai perkara tersebut selepas kontraknya selaku pengerusi agensi tersebut tamat baru-baru ini.
“Macam-macam spekulasi kenapa saya tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Mara. Sebenarnya tak perlu sebarang spekulasi.
“Jawatan pengerusi agensi adalah budi bicara Menteri. Seperti jawatan Menteri adalah budi bicara Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Menteri.
“Apabila dilantik kita berkhidmat sejujurnya kerana Allah, menjaga amanah dan integriti serta menjunjung amanah rakyat,” katanya. – mynewshub.cc