SERPIHAN pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion semalam, dipercayai dari pesawat MH370 milik Malaysian Airlines (MAS) yang hilang secara misteri sejak lebih setahun lalu.
Serpihan tersebut dikatakan ditemui oleh pekerja pembersih pantai di pulau berkenaan yang terletak berhampiran dengan Madagascar.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal telah menggamit perhatian media di seluruh dunia apabila hilang dari radar selepas satu jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing pada Mac 2014.
Sejak itu, kelibat pesawat jenis Boeing 777 itu lesap dari pandangan mata kasar dan menimbulkan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.
[SERPIHAN DIDAKWA MILIK MH370 DITEMUI-M’SIA HANTAR PENYIASAT]
[PAKAR LAUT AUSTRALIA KATA IA MUNGKIN MH370?]
Segala tanda tanya yang berlegar telah mencetuskan pelbagai teori penyebab kehilangan pesawat tersebut.
Antara yang tersenarai di bawah ini adalah teori yang menjadi perbualan hangat netizen. Ada yang seperti tidak masuk akal namun jom lihat 10 teori popular tersebut:
10. Juruterbang membunuh diri
Ada yang mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan kemungkinan juruterbangnya telah membunuh diri. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang dapat membuktikan Kapten Zaharie Ahmad Shah mahupun pembantunya, Fariq Abdul Hamid mempunyai niat sedemikian. Selain itu, ada juga teori yang menyatakan Kapten dan pembantunya ini telah mensabotaj sendiri pesawat MH370 namun menurut Pengarah Komersial Malaysia Airlines ketika itu, Hugh Dunleavy, Kapten pesawat tersebut sangat berpengalaman dan mempunyai rekod sangat baik.

9. Pengganas menjunamkan pesawat MH370 ke dalam lautan
Teori ini antara yang paling popular dan munasabah. Terdapat beberapa kumpulan pengganas dituduh bertanggungjawab atas kehilangan pesawat ini. Teori ini semakin masuk akal selepas dua orang daripada penumpang yang menaiki pesawat tersebut didapati menggunakan pasport curi. Dua individu tersebut didakwa telah bersekongkol dengan pengganas yang mahu menjunamkan pesawat tersebut ke dalam laut.

8. Pesawat MH370 telah dirampas oleh pihak Afghanistan
Surat khabar di Rusia mendakwa pesawat Boeing 777 yang hilang dari radar telah dirampas dan diterbangkan ke Afghanistan. Kesemua penumpang dan anak kapal dikatakan menjadi tawanan di sana. Ia didakwa dirampas oleh kumpulan pengganas yang tidak dikenali dan pesawat tersebut dikatakan berada di Afghanistan, tidak jauh dari Kandahar. Ada juga yang menyatakan kesemua penumpang telah dibahagikan kepada 7 kumpulan dan kini berada dalam keadaan sengsara.
7. Penipuan insurans nyawa
Teori ini mendakwa kemungkinan besar ada antara penumpang yang menaiki pesawat menuju ke Beijing itu telah membeli nilai pampasan insurans yang tinggi untuk diberikan kepada ahli keluarga. Namun, para penyiasat masih menjalankan siasatan terperinci terhadap semua penumpang yang menaiki pesawat itu.
6. Kini di tangan Korea UtaraÂÂ
Dakwaan menyatakan pesawat MH370 yang hilang kini berada di Korea Utara untuk tujuan eksperimentasi turut tersebar. Pendakwa membayangkan, pesawat tersebut disembunyikan dengan teknologi canggih. Teori tersebut juga mendakwa Korea Utara telah menakluk dan menyembunyikan pesawat MH370 tanpa tujuan yang diketahui.
5. Dikatakan telah mendarat di Pulau Andaman
Teori seterusnya mendakwa pesawat MH370 telah mendarat di Kepulauan Andaman. Ia merupakan sebuah pulau yang terceruk dan kemungkinan besar radar yang digunakan di sana tidak mampu untuk mengesan pesawat tersebut. Jika pesawat itu telah ditawan, pulau ini adalah lokasi yang sangat sesuai untuk disembunyikan dan menurut seorang bekas juruterbang, ia sememangnya sukar namun tidak mustahil untuk mendaratkan pesawat di pantai itu.
4. Pesawat MH370 berselindung di antara kapal terbang yang lain
Dikatakan, antara teknik lain untuk mengelak pesawat daripada dikesan radar adalah berselindung atau kekal rapat dengan kapal terbang yang lain.
3. Ditembak jatuh oleh jet pejuang Amerika Syarikat
Teori ini mendakwa pesawat MH370 telah ditawan selepas ditembak sebelum ianya akan digunakan untuk melancarkan serangan seperti kejadian 9/11 di Amerika Syarikat. Ia dikatakan ditembak jatuh oleh jet pejuang Amerika Syarikat.
2. Hilang di Segi Tiga Bermuda Asia
Terdapat teori yang menyatakan pesawat MH370 telah hilang dan lesap di kawasan seperti Segi Tiga Bermuda di Asia. Seperti yang diura-urakan di sosial media, mana-mana pesawat atau bot yang melalui kawasan ‘berhantu’ tersebut pasti akan hilang dari radar dan tidak ditemui. Ada yang menyatakan pesawat tersebut telah menempuh alam lain yang jauh dari dunia realiti ini.
1. Pesawat MH370 telah ditawan oleh makhluk asing
Setelah pelbagai spekulasi dan teori yang dikeluarkan, ramai juga yang yakin, kehilangan pesawat MH370 ada kaitan dengan makhluk asing. Kedengaran seperti mitos namun ini antara teori paling popular yang dikeluarkan selepas segala tanda tanya dan persoalan mengenai misteri MH370 tidak terjawab.
Hingga ke hari ini, segala teori dan spekulasi yang dikeluarkan oleh banyak pihak sejak hilangnya pesawat MH370 tidak dapat dibuktikan.
Segala tanda tanya yang terapung di minda belum terjawab hingga hari ini. Walau bagaimanapun, diharapkan penemuan cebisan pesawat di La Reunion dapat memberikan sedikit petunjuk kepada penyiasat untuk merungkai segala misteri dan persoalan seluruh dunia berkaitan MH370. – MYNEWSHUB.CC








