MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bakal menghadiri program diskusi berkonsepkan ‘townhall’ yang akan dikendalikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjudul Nothing to Hide Dialog PM bersama NGO anjuran SukaGuam.
Majlis itu akan diadakan bermula jam 9 pagi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.
Tun Dr Mahathir sejak akhir-akhir ini dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan Najib menerusi isu 1MDB.
Pujian harus diberikan kepada Perdana Menteri kerana bersikap terbuka, berani dan telus untuk mengadakan program seperti ini yang dilihat dapat memberikan pendedahan sebenar kepada masyarakat mengenai isu yang melanda Malaysia kini.
Bukan calang-calang pemimpin yang berani berhadapan dengan mantan ketuanya di dalam satu majlis diskusi.
Umum mengetahui Tun M banyak mengasak pentadbiran Perdana Menteri melalui blog peribadinya.
Tidak pernah dalam sejarah seorang Perdana Menteri Malaysia mengadakan sesi dialog dan diskusi bercorak ‘townhall’ waima tokoh negarawan Tun M sekali pun.
Dari langkah ini dapat dibuktikan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memang tidak mempunyai sebarang perkara untuk dirahsiakan daripada seluruh rakyat Malaysia. – MYNEWSHUB.CC


