“TIADA lanjutan tempoh atau amaran akan dikeluarkan kepada usahawan online yang tidak mendaftar perniagaan selepas ini,” tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Sri Hasan Malek.
Hasan berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran acara SSM-ONE (Suruhanjaya Syarikat Malaysia Online Networking Entrepreneurs) di The Curve, Damansara, pada Khamis.
Antara faktor pendorong program SSM-ONE yang mengumpulkan para pengusaha perniagaan atas talian di dalam satu komuniti yang disokong penuh oleh SSM ini adalah menimbulkan kesedaran dalam kalangan usahawan online yang bercambah dewasa ini agar mendaftarkan perniagaan.

Bagaimanapun menurut Hasan, pihak yang menjalankan perniagaan seharusnya maklum akta sedia ada mewajibkan perniagaan yang dijalankan di negara ini berdaftar dengan SSM.
Pada masa sama, perniagaan yang berdaftar dapat mengelakkan pengguna tertipu terutama apabila melakukan transaksi secara maya.
“Pendaftaran perniagaan bukan untuk menyusahkan peniaga tetapi ianya penting untuk melindungi hak pengguna apatah lagi perniagaan online bersifat global.
“Jika perniagaan tidak berdaftar maka tindakan susulan susah untuk diambil jika berlaku apa-apa penyelewengan,” kata Hasan.
Berkaitan: Manfaatkan Portal MyWanita Untuk Pasarkan Produk
SSM-ONE berlangsung selama dua hari iaitu pada Khamis dan Jumaat (hari ini), sehingga jam 10 malam.
Pelbagai pengisian bermanfaat diisi sepanjang acara yang julung kali diadakan ini, antaranya Forum Keusahawanan, Tips Mendapat Geran dan Pinjaman, Sepetang Bersama Menteri KPWKM Dato’ Sri Rohani Abd Karim, Table Talk bersama SSM, MyIPO, TEKUN, AKPK & Mara serta banyak lagi.
Dalam pada itu, Hasan turut mengulas tentang peniaga yang menjalankan perniagaan atas talian walaupun masih bergelar penjawat awam.
“Penjawat awam dilarang berniaga sepanjang waktu pejabat namun selepas itu dibolehkan kerana kita faham ianya dapat membantu menjana pendapatan keluarga,” ujar beliau. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: REM RAMZI
Foto/Video: RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=QbEIgyNpEZ4
https://www.youtube.com/watch?v=k4EdV0-VXXs
