KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yakin parti pembangkang boleh membentuk sebuah gabungan yang baharu dan lebih kuat walaupun Pakatan Rakyat telah berpecah.
Katanya, beliau tidak berasa terlalu khuatir dengan perpecahan tersebut kerana peluang untuk parti-parti pembangkang bersatu di bawah gabungan baharu masih ada.
“Jika gabungan pembangkang dan `front-front’ rakyat (NGO) mampu membentuk satu gabungan kuat sebelum pilihan raya umum (PRU) Insya-Allah peluang untuk tumbangkan Barisan Nasional (BN) masih ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan dalam pada itu mengingatkan pemimpin baharu PAS supaya berfikir semua pihak terutama rakan parti itu yang bukan Islam akan mengikuti segala pandangan dan cadangan PAS.
Menurutnya, PAS sepatutnya memperkuat hujah dan fakta yang mampu meyakinkan mereka untuk diterima dan dijadikan asas perjuangan bersama.
“Jangan bila tidak mampu berhujjah maka kita mencari dalih untuk memutuskan hubungan atau kerjasama atas alasan merugikan Islam.
“Perkuatkan hujah kita. Islam tertegak dengan hujah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
