Perniagaan merupakan satu bentuk ekonomi yang amat digalakkan Rasullulah SAW, sehinggakan baginda sendiri menyifatkan perniagaan sebagai punca rezeki terbaik.
Menyedari manfaat perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah merencanakan satu program berbentuk ilmiah, SSM-ONE (Online Networking Entrepreneurs) bagi membantu pengusaha atas talian selari dengan peredaran zaman.
Program yang berlangsung selama dua hari di The Curve, Damansara bermula semalam dan berakhir hari ini (5 Jun), nyata mendapat sambutan luar biasa usahawan online yang sanggup datang daripada pelbagai pelusuk negeri semata-mata ingin menuntut ilmu perniagaan.
Selain dapat mengumpulkan komuniti usahawan online, program itu menjadi wadah terbaik buat para peniaga untuk mendapatkan informasi dan bantuan berkaitan perniagaan seperti Tips Mendapatkan Geran dan Pinjaman serta Table Talk bersama pihak Mara, Tekun serta AKPK.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Khuzairi Yahaya berkata, kejayaan program yang julung kali diadakan itu membuatkan pihaknya ingin meneruskan program yang sama ke peringkat negeri-negeri yang lain.
“Kami masih lagi dalam perbincangan untuk menentukan negeri yang bakal kami pilih untuk mengadakan SSM-ONE kelak.
“Program seumpama ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja kami memberi kesedaran tentang kepentingan mendaftar SSM, malah kami ingin memaklumkan para peniaga di Malaysia tentang bantuan yang boleh SSM berikan,” katanya kepada Mynewshub ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, maklum balas dari peserta juga amat positif.
Seorang peserta dari Johor, Nur Fazillah Mohsin, 28 berkata, program seperti ini sememangnya dinanti-nantikan selama ini sehingga menyebabkan dia sanggup turun ke Kuala Lumpur.
“Saya mempunyai butik online sendiri dan kesemua pakaian yang saya jual merupakan rekaan eksklusif saya sendiri.
“Dengan mengikuti program ini selama dua hari, saya banyak mendapatkan banyak ilmu tentang strategi pemasaran yang bakal membantu peniagaan saya kelak,” kata pengusaha LaManes Collection ini.

Manakala, bagi usahawan jahitan yang dikenali sebagai Sophea Pikin, 48, acara SSM-ONE ini banyak mengajar dirinya cara-cara memaksimumkan jualan atas talian.
“Saya baru berjinak-jinak memasarkan perniagaan saya menggunakan media sosial kira-kira dua minggu lalu.
“Alhamdulillah, feedback yang diberi sangat memberangsangkan,” ujarnya kepada Mynewshub.
Program ini juga turut memberi peluang kepada usahawan Malaysia untuk membuka booth jualan seperti makanan, pakaian, aksesori dan barangan kecantikan pada acara tersebut.
Antara booth jualan yang menjadi kegemaran ramai adalah jenama tudung terkenal, Adijuma dan booth Danish Empire yang merupakan milik pelakon, Nora Danish.

Menurut Eksekutif Jualan Adijuma, Aiman Samsuddin, 24, kehadiran pengunjung di acara ini menyebabkan booth mereka tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.
Itu menurutnya adalah sesuatu yang amat disenangi para peniaga seperti dirinya.
Sementara itu, Rozy Danish (kakak Nora Danish) selaku jurucakap bagi pihak Danish Empire berkata, selain daripada dapat meningkatkan jualannya, dia turut mendapat banyak tips bagi memajukan perniagaannya.
“Rugi siapa yang tidak turut serta dalam program SSM-ONE ini kerana ahli panel yang tampil bagus-bagus belaka.
“Saya harap pihak SSM akan mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya dua kali setahun,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, pengusaha yang mendaftar kepada SSM pada acara tersebut juga akan diberi satu nama domain bernilai RM 2000 secara percuma buat pendaftaran kali pertama. – MYNEWSHUB.CC
SERTAI ONE-SSM DENGAN KLIK DI SINIÂÂ
Oleh: FARAH
Foto/Video: RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=QbEIgyNpEZ4
https://www.youtube.com/watch?v=k4EdV0-VXXs

