DUNGUN – Sebanyak 96 buah motosikal disita dalam Operasi membanteras Samseng Jalan Raya yang dilaksanakan di Kawasan Rantau Abang, di sini awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata dalam operasi selama tujuh jam itu juga sebanyak 57 saman telah dikeluarkan polis kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan sebagainya.
Katanya pihak polis juga turut menahan seorang penunggang motosikal yang berusia 21 tahun kerana positif dadah jenis methamphetamine.
“Operasi yang dilakukan ini dalam usaha mengekang kegiatan samseng jalanan di daerah ini, khususnya pada malam minggu yang kerap menjadi tumpuan golongan mat rempit melakukan aktiviti seperti ini.
Jadi kita akan terus mempergiatkan operasi ini bagi memastikan golongan sasaran itu tidak terus bermaharajalela di atas jalan raya sehingga menimbulkan kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya sebanyak 150 motosikal, 45 kereta, 12 kenderaan lain 246 invididu telah diperiksa dalam operasi yang disertai dua pegawai dan 17 anggota.
Ketika serbuan, kira-kira 300 mat rempit berusia antara 18 hingga 30 tahun dipercayai sedang leka melakukan persediaan untuk melakukan lumba haram.
Menyedari lokasi mereka dikepung pihak berkuasa, kumpulan terbabit cuba melarikan diri dengan menunggang motorsikal melawan arus dan ada yang cuba melarikan diri dengan memasuki hutan terdekat untuk mengelak dikesan.
Ahmad Zailani turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk memantau pergerakan anak-anak sepanjang bulan Ramadan yang menjadikan alasan untuk ke masjid namun mengambil kesempatan untuk terlibat dalam kegiataan merempit ini.
“Kesemua motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=BYlJtSQ22ds

