KUALA LUMPUR – Keberkesanan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dalam menangani aktiviti lanun di rantau ini meragukan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, berdasarkan data tahun 2014, sekurang-kurangnya tiga kapal komersial telah dirompak.
“Isu ini turut menimbulkan keraguan sejauh mana kemantapan kerjasama maritim menerusi mekanisme Pakar-Pakar Teknikal Tiga Pihak (TTEG) berhubung keselamatan navigasi yang telah wujud sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, kata Nasrudin, kerajaan perlu memperkukuhkan semua aset dan kelengkapan keselamatan pengairan negara untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau turut mendesak supaya mekanisme dan operasional yang lebih kukuh perlu diwujudkan dalam kalangan negara-negara persisir pantai, negara-negara pengguna dan institusi perkapalan antarabangsa.
Nasrudin mengulas kejadian kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirompak sekumpulan lanun tetapi berjaya ditemui dan diselamatkan pihak berkuasa pada 19 Jun lalu.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. – MYNEWSHUB.CC

