KUANTAN – Seorang komposer muzik yang berasal dari Singapura, Rosman Lamri, 46, terbabit dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Km 125.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh semalam.
Bagaimanapun beliau yang memandu kereta MyVi dilapor tidak cedera dalam nahas pukul 5.15 petang itu.
Namun seorang tukang rumah, Ridzuan Idris, 36, dari Felda Jengka 20, Bandar Jengka yang menumpang sebuah kereta lain meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang, Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada di dalam kereta mangsa cedera parah dan dirawat di hospital yang sama.
Beliau berkata mereka berempat datang dari arah Kuarters Tenaga Nasional Berhad Temerloh dan menuju Sungai Nerek. – BERNAMA

