KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan kerugian RM30.47 juta berikutan kegagalan pesakit menjelaskan bayaran perubatan dari tahun 2012 hingga 2014.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan media memberitahu, sebanyak 75 peratus daripada tunggakan bayaran perubatan hospital itu di Sabah, Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor.
Menurut kenyataan itu, warga asing menyumbang sebanyak 58 peratus daripada tunggakan keseluruhan tunggakan bayaran perubatan hospital tersebut.
“Bagi warganegara, sebahagian besar tunggakkan melibatkan pesakit wad Kelas 3 yang tidak mampu membayar bil rawatan.
“Bagi warga asing pula, tunggakan bayaran perubatan hospital yang tidak dapat dikutip disebabkan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang datang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan perlu diberi rawatan bagi kes-kes kecemasan untuk menyelamatkan nyawa mereka,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, bagi pekerja asing yang dibenarkan bekerja di negara ini, tunggakan bayaran perubatan mereka amat kecil kerana kerajaan telah memperkenal Skim Perlindungan lnsurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) pada 1 Januari 2011 yang mewajibkan pekerja asing untuk dilindungi insurans sebelum mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Pada masa ini seramai 1.8 juta warga asing telah berdaftar dalam SPIKPA,” jelas kenyataan itu.
Justeru, Kementerian kesihatan melaksanakan tindakan penambahbaikan dalam memastikan tunggakan bayaran perubatan pesakit dikutip dengan sebaiknya seperti berikut:
(a) Pesakit warganegara yang tidak mampu membayar bil terutamanya pesakit wad kelas 3 akan dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan bagi tujuan penilaian dan pengecualian selaras dengan Perkara 6(7), Perintah Fi (Perubatan) 1982. Pengecualian ini hanya dibenarkan kepada pesakit warganegara sahaja.
(b) Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 bagi menjelaskan mengenai pelaksanaan fi baru bagi warga asing kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah KKM;
(c) Garis Panduan Pengurusan Kutipan Hasil Pesakit Warga Asing Yang Tidak Membayar Deposit Semasa Mendapatkan Rawatan Di Hospital Kerajaan pada 4 Mac 2015 berhubung pengurusan kutipan hasil bagi warga asing yang tidak membayar deposit semasa mendapatkan rawatan di hospital;
(d) Notis Tuntutan dikeluarkan kepada pesakit oleh Penasihat Undang-Undang KKM selepas Surat Peringatan kali ketiga dan diberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan pembayaran kepada hospital berkenaan;
(e) PATI yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan dilapor segera utnuk tindakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan seperti Jabatan Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia;
(f) Tindakan hapus kira diambil oleh semua PTJ yang mempunyai tunggakan hasil yang melebihi enam (6) tahun dengan mengambilkira semua usaha kutipan telah dilaksanakan. – mynewshub.cc

