Akibat tidak mampu mengawal kemarahannya, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar mengamuk ketika sesi perbahasan di dalam Dewan Rakyat sehingga terpacul perkataan ‘bastard’.
Semuanya gara-gara tindakan sekumpulan Wanita PKR yang didakwanya telah menceroboh kediamannya, hari ini.
Hina Muka Zuraida Macam Mak Lampir, PKR Gesa Bung Digantung
Menurut Bung, kira-kira 30 ahli wanita yang dikatakan telah dihantar oleh Ketuanya, Zuraida Kamaruddin membawa sepanduk dan melemparkan tuduhan serta cacian kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Ujar Bung yang mencelah perbahasan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, “Saya ingin memaklumkan sekumpulan wanita telah dihantar oleh Ahli Parlimen Ampang menceroboh rumah saya.
“Membawa sepanduk dengan pelbagai tuduhan dan hinaan dengan jeritan reformasi dan sebagainya.
“Laporan polis telah dibuat tetapi dewan ini, apa-apa kita selesai di sini, jangan biadab.”
Tambah memanaskan keadaan, Bung turut mengeluarkan amaran keras bahawa ‘mungkin ada yang mati di situ’ seandainya dia berada di rumah ketika itu.
“Nasib saya tidak ada, kalau saya ada, mungkin ada yang mati di situ. Jangan cabar saya, jangan woooo. Jangan temberang.”
Kemudiannya, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian bangun dan bertanyakan “apa masalah?”
Namun, Bung yang gagal mengawal api kemarahannya terus menghamburkan kata-kata kesat. “…You shut up. Bastard.
“Kalau anak laki-laki, jantan, keluar kau. Ini melibatkan maruah, melibatkan nyawa keluarga saya. Ancaman ini tidak baik. Ini perbuatan biadab oleh Ahli Parlimen Ampang.”
Walaupun cuba ditenangkan oleh Yang di-Pertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, namun Bung tetap meneruskan amarannya kepada ahli parlimen yang cuba masuk campur.
Isu tersebut bermula pada Isnin lalu setelah Bung memetik ujaran dari pengguna laman sosial yang menyamakan wajah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin seperti ‘Mak Lampir’, satu watak antagonis pengamal ilmu sihir dari lagenda terkenal di Indonesia.
Kalau dari satu sudut, Bung dilihat bertindak normal dengan melepaskan amarannya kerana keselamatan keluarganya telah diganggu gugat.
Namun sayangnya, dari beberapa sudut yang lain, cara, tingkah laku, bahasa dan tempat yang digunakannya untuk berhujah dilihat tidak rasional.
Umum tahu, Dewan Rakyat merupakan satu dewan yang mulia yang mendiskusikan hal ehwal rakyat, tapi lain pula yang dibincangkan Bung.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR