KUALA LUMPUR – Pemimpin Melayu DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud mendakwa dirinya dijadikan sebagai bahan kursus oleh Biro Tatanegara (BTN) untuk memburuk-burukkan DAP.
Dyana Sofya mendakwa, BTN menuduh beliau dijadikan ikon oleh DAP untuk menarik sokongan anak muda sebagai strategi parti itu memecah-belahkan kaum Melayu.
“Terdapat `slaid’ (kursus BTN) yang memfitnah pelbagai pihak termasuk parti politik seperti DAP, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis politik.
“Saya sendiri tidak terlepas dari menjadi bahan kursus itu yang dikatakan dijadikan ikon untuk menarik sokongan anak muda sebagai strategi parti DAP memecah-belahkan orang Melayu,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dyana Sofya mendakwa, kursus BTN turut menuduh DAP berkempen untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia.
“Kursus ini berbaur politik fitnah dan keji dengan menggunakan agensi rasmi kerajaan,” dakwanya.
Justeru, beliau mendakwa, BTN yang sebenarnya tidak menghormati hak demokrasi, memupuk sifat rasisma dan kebencian dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau meminta BTN dimansuhkan segera kerana didakwa menjadi penghasut dan membawa perpecahan kepada perpaduan rakyat.
“Segala usaha, tenaga dan masa harus disalurkan untuk menterbalikkan kesan buruk yang telah dilakukan oleh BTN selama beberapa tahun ini,” dakwanya. – mynewshub.cc