TAIPEI – Kebakaran di pentas muzik merebak kepada sekumpulan penonton konsert di sebuah taman tema air di sini menyebabkan kira-kira 350 cedera.
Letupan dipercayai akibat sejenis serbuk yang disembur ke pentas mencetuskan kebakaran sebelum menyambar ke arah lebih 1,000 penonton konsert itu, kata pegawai perhubungan di Jabatan Bomba Taipei, Wang Wei-sheng.
Agensi berita rasmi Taiwan, Central News Agency melaporkan 349 cedera termasuk empat warga China dan dua pelancong.
Wang berkata, 83 penonton cedera agak serius. Rakaman video menunjukkan kakitangan Taman Tema Air Formosa bertungkus lumus membantu memadamkan kebakaran dan membawa mereka yang cedera di atas pelampung untuk mendapatkan rawatan.
CNA melaporkan, saksi berkata api marak dan merebak dengan cepat selepas serbuk berwarna disembur ke udara di hadapan pentas.
Setakat ini, belum diketahui jika serbuk itu adalah sebahagian daripada persembahan. Bomba berkata, punca kebakaran itu kini sedang disiasat. – AP/BH Online
https://www.youtube.com/watch?v=-AK1f64qUgc

