ALOR SETAR – Seorang warga emas yang memiliki dua waran tangkap kerana tidak memiliki lesen memandu ditahan dalam Ops warta di sekitar bandar raya ini hari ini.
Lelaki berumur 76 tahun itu adalah antara sembilan pesalah trafik yang ditahan.
Pegawai Pendakwaan Trafik Mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Insp Sukma Johar warga emas tersebut yang menunggang motosikal ditahan selepas melanggar lampu isyarat di Simpang Kuala di sini.
“Lelaki itu gagal mengemukakan lesen memandu dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia mempunyai dua waran tangkap atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.
“Kita bawa lelaki itu ke balai polis untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Kita beri tarikh untuk dia hadir ke mahkamah,” katanya.
Sukma berkata kesemua yang ditahan mempunyai saman tertunggak sejak 2008 hingga 2014 atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang dan langgar lampu isyarat. – BERNAMA