LOS ANGELES – Siri popular, The Simpsons sah kehilangan salah satu suara yang paling dikenali apabila Harry Shearer, yang menjadi suara Mr. Burns, Ned Flanders dan Principal Skinner, meninggalkan siri animasi tersebut.
Berita yang amat mengejutkan itu diumumkan oleh beliau sendiri menerusi laman Twitter pada malam Rabu, sekali gus meninggalkan siri terbitan stesen televisyen Fox itu selepas 26 musim ke udara di seluruh dunia.
Shearer hanya memberi alasan dengan menulis: “Saya mahu apa yang kita selalu ada, kebebasan untuk melakukan kerja-kerja lain.” namun tulisan itu mencadangkan bahawa ‘pemergiannya’ disebabkan oleh pertikaian kontrak.

Beliau juga menulis, peguam untuk penerbit The Simpsons, James L. Brooks menyampaikan berita: “Harry tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada siri ini, kami mengucapkan yang terbaik untuk beliau selepas ini.”
Kemudian, Shearer menulis pesanan untuk peminat The Simpsons di Twitter, mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sokongan penonton sepanjang 573 episod sejak ia mula ke udara pada 17 Disember 1989 lalu.
Fox baru-baru ini memperbaharui siri itu untuk dua musim sehingga 2017 dan semua pelakon suara yang lain menandatangani kontrak lanjutan musim 27 dan 28, dengan Shearer menjadi satu-satunya yang menarik diri.

Dan Castellaneta, Julie Kavner, Nancy Cartwright, Yeardley Smith dan Hank Azaria akan tetap kembali untuk dua musim yang akan datang malahan penerbitan untuk musim 27 telah pun bermula tanpa penglibatan Shearer.
Pihak pengurusan Fox tidak dapat dihubungi media tempatan untuk sebarang komen, namun episod terakhir The Simpsons bagi musim 26 akan disiarkan di stesen Fox (jika di Malaysia saluran 724 Astro) pada Ahad ini.
Ini bukanlah kali pertama siri satira lima sekeluarga The Simpsons yang dicipta oleh Matt Groening itu mengalami isu pertikaian kontrak tetapi sebelum ini, ia sering sahaja terselamat daripada kehilangan pelakon.

Pada 2011, syarikat pengeluarnya, 20th Century Fox Television merancang untuk mengurangkan kos rancangan yang didakwa semakin lapuk itu, dengan melaksanakan pemotongan gaji yang besar untuk semua pelakon suara.
Demi menyelamatkan siri itu, barisan pelakon akhirnya sanggup bersetuju untuk menerima gaji baharu selepas rundingan tegang, walaupun pengurangan gaji tidak begitu mendadak seperti yang dicadangkan pada awalnya. – Agensi/H.A.AMREE