KUALA LUMPUR – Melihat kepada cabaran pembangunan global hari ini, sains, teknologi dan inovasi perlu relevan dengan keperluan dan aspirasi setiap negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Oleh itu, kata timbalan perdana menteri, sains perlu diburu dengan menetapkan matlamat, memandangkan ia adalah alat paling penting untuk memacu ekonomi setiap negara termasuk Malaysia.
“Meskipun penyelidikan asas adalah keperluan paling penting bagi memperluaskan ilmu pengetahuan, penyelidikan translasional juga amat penting untuk menyelesaikan masalah hari ini dan masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat ke-3 Setiausaha Agung Lembaga Penasihat Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ke-3 di sini Selasa.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) Irina Bokova dan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid.
Muhyiddin menegaskan kerjasama antarabangsa diperlukan untuk memberi penekanan kepada pembinaan keupayaan, dengan negara maju membantu dan memperkukuhkan keupayaan saintifik negara membangun.
“Kerjasama dan jaringan antarabangsa dalam bidang sains, dengan Lembaga Penasihat Sains ini selaku contoh yang baik, juga merupakan keperluan penting disebabkan sains tidak mempunyai sempadan geografi, politik atau kebudayaan,” kata Muhyiddin.
Timbalan perdana menteri berkata bagi Malaysia, tiga dekad yang lepas merupakan tempoh pertumbuhan yang pantas dan bertahan yang dipermudahkan kerajaan menerusi liberalisasi pasaran, penawaran insentif bagi pelaburan, penghapusan sekatan dan menggalakkan sektor swasta untuk turut sama membantu merancakkan kemajuannya.
“Kami telah meletakkan dasar, peraturan dan garis panduan untuk menggalakkan pembangunan lestari.
“Matlamat kami adalah persekitaran yang bersih, selamat dan sihat bagi semua rakyat Malaysia.
“Sambil kami membuat persediaan untuk berada setara dengan negara berpendapatan tinggi, kami juga mendapatkan inspirasi daripada duluan yang ditetapkan sebelum ini,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata Malaysia turut berusaha ke arah strategi pembangunan lestari bersepadu yang dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang dilancarkan baru-baru ini dalam cara yang membawa matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam masyarakat bersama-sama.
Muhyiddin menegaskan matlamat ini akan memaksimumkan kesejahteraan insan pada masa kini tanpa mengorbankan kepentingan dan keperluan generasi akan datang.
Sementara itu, Bokova dalam ucapannya, menggesa agar kerjasama lebih rapat dijalin merentasi semua bidang dan sempadan untuk berkongsi pengwujudan serta pengagihan pengetahuan dan inovasi.
“Saya percaya umat manusia telah memasuki era batasan baharu dan ini memerlukan semua lapisan masyarakat agar lebih memanfaatkan peluang tanpa batasan ini yang boleh ditemukan dalam kreativiti manusia, untuk merangka penyelesaian baharu yang bersifat terangkum, adil dan lestari.
“Ini memerlukan sains yang lebih kukuh, ia memerlukan sains yang lebih berhubung. Sains adalah keadah untuk menghubungkan ekonomi, alam sekitar dan dimensi sosial dengan lebih lestari,” katanya.
Menyentuh tentang matlamat Lembaga itu bagi tahun ini, Bokova menegaskan satu daripada cadangan mereka adalah untuk meneliti isu baru memuncul yang mempunyai kaitan dengan perubahan iklim, misalnya banjir yang menjejaskan negara ini baru-baru ini.
Beliau berkata Lembaga itu turut mencari jalan agar revolusi data dapat mempromosi akses kepada maklumat, data dan perkhidmatan kepada semua, selain keupayaan yang diperlukan di kawasan yang kekurangan prasarana Maklumat, Komunikasi dan Teknologi. – BERNAMA