India – Seorang pencuri dipaksa makan 60 biji pisang oleh doktor bagi mengeluarkan semula rantai emas bernilai RM2,600 yang ditelannya.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Anil Jadhav telah meragut rantai tersebut daripada seorang suri rumah Rajeshri Mayekar sebelum ditelannya.
Namun disebabkan Anil enggan mengaku dan berkeras bahawa dia tidak bersalah, maka polis tiada pilihan lain kecuali membawanya ke hospital untuk melakukan x-ray.
Selepas pemeriksaan x-ray, doktor menemui rantai bersama loket seberat 25 gram berada di dalam perutnya dan untuk mengeluarkan rantai itu, pisang terpaksa digunakan.
Selain itu doktor turut menyuntik cecair khas dalam lubang punggungnya untuk memudahkan dia membuang air besar bagi tujuan mengeluarkan rantai berkenaan.
Dalam pada itu, Rajeshri berkata, dia tidak akan memakai lagi rantai tersebut sebaliknya akan meleburkannya untuk membuat barang kemas lain.