KUALA LUMPUR – PAS meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak cuba mencampuri urusan pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada Jun depan dengan menyerang peribadi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Penolong Setiausaha Agong 3 PAS, Dr. Raja Ahmad Iskandar berkata, sikap tersebut seolah-olah bertujuan menghancurkan reputasi dan keyakinan rakyat terhadap PAS serta kepimpinan ulamanya.
“Setiausaha Agung DAP begitu rancak menyerang kami terutamanya Presiden PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS pada 4 Jun 2015 dan dalam masa yang sama bahawa tahun ini adalah tahun pemilihan di dalam PAS yang akan diadakan.
“DAP perlu faham bahawa yang menentukan pemilihan di dalam PAS adalah perwakilan di dalam Muktamar Tahunan PAS dan bukannya pihak lain yang boleh meletakkan kepimpinan PAS sekarang ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Raja Ahmad berkata, tindak tanduk DAP yang terus menerus menyerang PAS boleh menafikan sokongan rakyat terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti kerana menimbulkan kemarahan mereka ke atas Pakatan Rakyat.
Justeru, katanya, beliau berasa cukup kesal dengan apa yang dilakukan DAP tersebut yang seolah-olah ‘menikam’ PAS dari belakang.
Beliau mengingatkan DAP bahawa PAS akan sentiasa berpegang kepada keputusan muktamar tahunan dalam menentukan hala tuju PAS dalam kancah politik negara.
“Jika DAP dan rakan kompenan lain pun masih meragui keputusan PAS bersama Pakatan Rakyat, bagaimanakah rakyat di luar sana ingin yakin dengan kita,” katanya. – mynewshub.cc

