KUALA LUMPUR – Kisah kejayaan sekumpulan anak muda Malaysia mengembalikan hak rakyat ke atas syarikat konglomerat peladangan terbesar, Guthrie melalui operasi `Dawn Raid’ di Bursa Saham London pada September 1981 bakal difilemkan.
Anak muda Malaysia yang terlibat dalam operasi waktu itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara individu yang telah ditemuramah oleh penerbit filem berkenaan, Bront Palarae & crew Pixel Play bagi menjayakan filem berkenaan.
“Temuramah semalam bersama Bront Palarae & crew Pixel Play yang akan menerbitkan filem berkenaan `Operasi Dawn Raid’ pada September 1981.
“Terima kasih memberi peluang berkongsi pengalaman yang amat berharga buat saya ketika bekerja bersama arwah Tun Ismail Ali,” kata Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor dalam laman Facebook beliau hari ini.
Operasi `Dawn Raid’ mengenai kejayaan Abdul Khalid dan pasukannya membawa balik syarikat konglomerat Guthrie yang ratusan tahun dikuasai British ke tanah air.
Tokoh korporat British terkemuka yang menguasai Guthrie pada waktu itu ditewaskan dalam masa empat jam sahaja melalui satu `serangan’ terancang mereka.
`Serangan’ itu kemudiannya dititipkan dalam sejarah korporat antarabangsa sebagai ‘Dawn Raid’ atau Serangan Waktu Subuh ke atas Bursa Saham London.
.
Ketika Inggeris menganggap kejayaan operasi berkenaan sebagai perbuatan ‘nasionalis pintu belakang’, rakyat Malaysia waktu itu mengangkat ia sebagai kejayaan mengembalikan hak yang hilang sebelum kisah berkenaan lambat laun semakin dilupakan.
Abdul Khalid sebelum ini merupakan Menteri Besar Selangor sebelum beliau dijatuhkan oleh partinya sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dilihat tidak sehaluan dengan pimpinan PKR dalam pentadbiran negeri itu. – mynewshub.cc
