KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang mengemukakan empat sebab beliau bersetuju bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan PAS awal bulan depan.
Katanya, tujuan pertama beliau bertanding jawatan itu mengeratkan ukhwah dan menyatukan semula ahli PAS dengan mengambil kira sejarah pertandingan dua penjuru jawatan di antara Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad pada tahun 1956.
“Pertandingan waktu itu menatijahkan kesan yang baik kepada jemaah dan meningkatkan ukhwah dan mahabbah sesama ahli PAS. Kesatuan ukhwah membolehkan seluruh ahli PAS memberi fokus untuk menunaikan amanah pantadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, tujuan lain beliau bertanding jawatan Presiden PAS bagi meraikan perbezaan pandangan dan mengurusnya dengan hikmah dan bijaksana.
Menurutnya, adalah mustahil untuk PAS yang mempunyai jutaan ahli boleh mempunyai hanya satu pandangan sahaja.
Katanya, beliau juga berhasrat untuk terus mempersadakan PAS di arena nasional dengan mengoptimumkan peranan wakil rakyat PAS, PAS di seluruh negara kerana parti itu didakwa mempunyai ramai tokoh yang berketerampilan untuk ditonjolkan.
Kata beliau, tujuan seterusnya adalah untuk terus aktif dalam isu-isu antarabangsa memandangkan beliau mempunyai pengalaman 17 tahun sebagai Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
“PAS merupakan antara gerakan yang terkehadapan dalam mengetengahkan Islam di lapangan demokrasi. Oleh itu saya berhasrat untuk memastikan PAS akan terus aktif menyertai forum-forum antarabangsa bagi berkongsi pengalaman PAS untuk manfaat gerakan Islam sejagat,” katanya. – Mynewshub.cc

