KETUA parti DAP Lim Kit Siang menerusi laman blognya hari ini menzahirkan sokongannya terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan suaminya.
“Kemenangan padu dan mengagumkan Wan Azizah di Permatang Pauh pada pilihan raya kecil membuka jalan bagi beliau dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen,” katanya dalam entri blog pada Jumaat.
Pakatan Rakyat kini tidak mempunyai Ketua Pembangkang yang diiktiraf berikutan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabit kesalahan meliwat.
Rayuan Anwar untuk mendapatkan pengampunan diraja juga ditolak, sekaligus membuatkan beliau hilang status sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Walau bagaimanapun, kerusi panas lokasi tersebut telah dirampas semula oleh isterinya pada PRK Khamis.
Sebelum ini, Wan Azizah pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen semasa Anwar dipenjara pada 1999.
Beliau juga pernah memegang kerusi Permatang Pauh dalam tempoh tersebut apabila Anwar diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: Pitt

