LANGKAWI – Sejumlah 4,281 orang bekas banduan yang menjalani Program Pemulihan Pemasyarakatan Jabatan Penjara dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia berjaya mendapat pekerjaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim hari ini berkata kejayaan bekas banduan ini jelas menunjukkan keberkesanan program berkenaan yang dimulakan sejak 2011.
“Sokongan syarikat-syarikat swasta (dalam memberi latihan dan pekerjaan) juga sangat menggalakkan dan banyak sudah menjalin kerjasama yang sangat baik kepada jabatan,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Mesyuarat Ketua-ketua Institusi Jabatan Penjara Malaysia di sini.
Katanya program itu merupakan antara usaha jabatan berkenaan selepas pelaksanaan Sistem Parol di negara ini untuk meneruskan pemulihan bekas banduan selepas mereka keluar dari penjara.
“Sokongan daripada pihak keluarga, NGO (Badan Bukan Kerajaan), majikan dan agensi kerajaan dan swasta sangat penting untuk membantu mereka memulakan hidup baharu,” katanya.
Selain Program Pemulihan Pemasyarakatan, program ‘di luar tembok penjara’ yang dijalankan jabatan itu juga termasuk Perkhidmatan Rumah Perantaraan dan Perintah Kehadiran Wajib.
Dalam ucapannya sebelum itu, Alwi berkata inisiatif Jabatan Penjara untuk memulihkan bekas banduan melalui latihan kemahiran ini dapat mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga kerja asing di negara ini.
Katanya jalinan kerjasama jabatan itu dengan agensi swasta dan kerajaan perlu diperluaskan lagi khususnya dalam bidang kemahiran yang mempunyai permintaan pasaran kerja yang tinggi.
Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Alwi menyampaikan pingat cemerlang kepada 32 orang pegawai jabatan berkenaan. – BERNAMA