MELAKA – Yayasan Melaka (YM) perlu kembali fokus kepada bidang pendidikan untuk memastikan ia terus kukuh dan memberi kebaikan kepada rakyat negeri ini pada masa depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata tindakan yayasan mempelbagaikan aktivitinya sebelum ini tidak memberi pulangan dan kesan seperti diharapkan terutamanya dalam keadaan ekonomi pada masa ini yang kurang memberangsangkan.
“Yayasan Melaka daripada awal penubuhannya meletakkan bidang pendidikan sebagai fokus utama tetapi dari semasa ke semasa, kita mula meletakkan fokus kepada pelbagai bidang.
“Sekarang, kita perlu kembali meletakkan fokus dalam bidang pendidikan,” katanya kepada Bernama di sini.
Idris berkata fokus dalam bidang pendidikan bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang baik, tetapi turut memberi peluang pendidikan yang luas kepada rakyat dan membantu kerajaan negeri untuk memajukan lagi negeri ini.
Katanya tindakan yayasan yang hanya mengekalkan 13 daripada 33 anak syarikat melalui penstrukturan semula ke atas pegangannya merupakan langkah terbaik dan memberi tumpuan kepada bidang yang dapat memberi pulangan yang lebih baik.
“Kita perlu melihat kepada keutamaan kita iaitu untuk rakyat, dengan itu fokus kita juga perlu ke arah memberi pulangan kepada rakyat, dan saya lihat pendidikan mampu memberi pulangan yang besar kepada rakyat,” katanya.
YM menyumbang RM5.5 juta setahun kepada Tabung Pendidikan Negeri Melaka bagi pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan.
Ia juga mempunyai pegangan ke atas Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka yang ditubuhkan pada 1997 untuk memberi peluang pendidikan kepada rakyat terutamanya anak Melaka.
YM ditubuhkan pada 1984 untuk menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, hartanah dan pelaburan. Ia ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu rakyat Melaka melalui keuntungan perniagaan yang diperolehnya. – BERNAMA

