KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menasihatkan pengguna agar membuat bayaran bil air tertunggak dengan kadar segera kerana operasi bil tertunggak bagi April sedang dijalankan.
Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Komunikasi Korporat Syabas Priscilla Alfred berkata operasi itu dijalankan di kawasan wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Hulu Selangor.
“Tindakan pemotongan bekalan air akan dikenakan kepada pengguna yang gagal menjelaskan bil tertunggak. Sekiranya tindakan telah diambil, pengguna akan dikenakan caj pemotongan dan caj penyambungan semula masing-masing sebanyak RM35 (tidak termasuk CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan) enam peratus) sebelum penyambungan semula dibuat.
“Caj-caj yang dikenakan bukanlah merupakan denda atau penalti kerana ia merupakan caj tetap perkhidmatan untuk pemotongan dan penyambungan semula bekalan air yang dikenakan Syabas kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang Syabas iaitu www.syabas.com.my atau layari laman rasmi Facebook atau Twitter Syabas dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.
Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi sistem mySYABAS (melalui Google Playstore Appstore) untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung operasi bil tertunggak itu. – BERNAMA