SATUN (Selatan Thai) – Pelancong yang merancang percutian antara April dan Jun ini dipelawa melawat Perlis kerana 11 acara menarik menanti mereka.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika membuat pelawaan itu bertitah program yang dianjurkan ialah sambutan Hari Belia peringkat negeri pada 24 dan 25 April ini di Denai Larian Pengkalan Asam di Kangar.
Ekspresi Visual Gerbang Utara pula berlangsung sejak 3 April lepas hingga 3 Jun di Galeri Seni Lukis Negeri dan di Perpustakaan Awam Simpang Empat anjuran Persatuan Pelukis dan Perpustakaan Awam Perlis, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan restoran D’Andaman dan promosi masakan Perlis di sini, petang semalam.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Gabenor Wilayah Satun, Dejrath Simsiri.
Juadah istimewa yang disajikan kepada pengunjung selama dua minggu promosi berlangsung antaranya laksa Kuala Perlis, gulai daging dan rebung Jejawi, kurma daging Arau, pekasam Timah Tasoh, pulut udang Bintong dan kuih lepat manis Gial.
Restoran D’Andaman terletak di hadapan Tesco Lotus Satun dimiliki Puan Arina Sakplak Puantnam berasal dari Satun yang mengusaha restoran Wan Thai di Kuah, Langkawi sejak 15 tahun lalu.
Promosi itu dianjurkan oleh pengusaha restoran dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YSTP) Perlis, Pejabat Tourism Malaysia Perlis dan pengusaha restoran di Perlis, Asmiza dan Ashidan Mat Isa.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah program ‘Jom Masuk Kampung Bersama RTM’ akan berlangsung di Homestay Kampung Ujong Bukit pada 2 Mei manakala Bazar Seni anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis diadakan pada 2-3 Mei dan 6-7 Mei di perkarangan kompleks jabatan itu di Kangar.
Program keagamaan ‘Perkampungan Sunah’ anjuran Jabatan Mufti Perlis di perkarangan Masjid Alwi, Kangar (8-10 Mei); kejohanan berbasikal ‘Perlis Open’ anjuran Persatuan Berbasikal Perlis dan Majlis Sukan Negeri (21-24 Mei).
‘The Unity Woodball Tournament’ anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pula di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar (24 Mei) dan diikuti Karnival Harumanis anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis di Kompleks Sukan Negeri di Kangar (29-31 Mei), tambah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelancaran Pesta Harumanis UiTM Perlis akan berlangsung di universiti itu di Arau pada 25 Mei dan ‘Perlis International Marathon’ yang pertama anjuran kerajaan negeri pada 31 Mei.
Baginda menambah program ‘Hutan Kita @ UniMAP anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dijadual berlangsung di universiti awam itu pada 11 Jun. – BERNAMA

