KUALA LUMPUR — Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
diminta menjelaskan tindakan membelanjakan RM92.67 juta bagi menganjurkan 10
acara pelancongan mega tahun lepas.
Pengerusi Jawatan Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed
berkata perkara itu antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat dengan kementerian
itu hari ini.
Turut dibangkitkan ialah pertindihan skop kerja antara kontraktor, dan
penganjuran acara yang tidak mencapai matlamat.
Nur Jazlan berkata perkara tersebut didapati berlaku sepanjang kerja-kerja
pengurusan acara kementerian terutama berkaitan program Tahun Melawat Malaysia.
“Jabatan Audit Negara telah mengadakan pengauditan pengurusan pengendalian
acara daripada November 2013 hingga Februari 2014 untuk memastikan pengendalian
diuruskan dengan teratur dan cekap selain daripada mencapai objektifnya.
“Antara isu yang kita persoalkan ialah mengapa kementerian melantik ‘PR
(public relation) consultant’ sedangkan Tourism Malaysia telah
dipertanggungjawabkan menjalankan tugas berkenaan,” katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Nur Jazlan berkata pelantikan syarikat berkenaan menyebabkan kementerian
mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM363,000 sebulan selama 22 bulan sebagai
yuran membayar khidmat kepada syarikat konsultan itu yang dilantik pada 2012.
“Sedangkan Tourism Malaysia telah mempunyai konsultan dilantik yang dibayar
sebanyak RM39,900 sebulan untuk kontrak selama 12 bulan,” katanya.
Namun, katanya pihak kementerian menjelaskan pelantikan berkenaan bagi
menanggung skop kerja yang lebih luas membabitkan konsultan acara-acara mega
sepanjang VMY 2014 antaranya penerbitan e-buletin, editorial dan sebagainya.
Nur Jazlan berkata, PAC juga tidak berpuas hati terhadap penganjuran lima
acara di Raub yang bertujuan mempromosikan daerah itu yang menelan kos RM5.2
juta namun kurang mendapat sambutan dari pelancong.
Bagaimanapun, katanya kementerian berjanji melakukan penambahbaikan bagi
memastikan semua acara-acara yang dianjurkan akan mencapai objektifnya.
Dalam pada itu katanya, perbelanjaan yang terlibat dalam pengurusan acara
oleh kementerian berjumlah RM78.86 juta pada 2011, RM69.24 juta (2012) dan
RM89.94 juta (2013).
Antara 10 acara yang telah diaudit termasuk Program Citrawarna 1Malaysia,
Pesta Air Labuan, Malaysia International Shoe Festival, Fabulous Food 1Malaysia,
Magic of the Night, Majlis Ceramah Mesra Terbuka Malaysia dan Minggu Budaya
Malaysia. — BERNAMA

