IPOH – Pameran fotografi yang mempamerkan ‘The Chola Temples’ dan persekitaran kehidupan di Chennai, India yang sedang berlangsung di sini memberi peluang kepada rakyat Perak untuk berkongsi kebudayaan dan warisan masyarakat India.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pameran berkenaan merupakan medium terbaik bagi mendedahkan kepada generasi muda untuk menghargai dan mengamati tradisi dan budaya masyarakat India yang semakin pupus dan ditinggalkan.
“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha penganjuran pameran tersebut yang merupakan satu daripada strategi untuk mempromosikan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran berkenaan, malam tadi.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, T.S. Tirumurti dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K Devamany.
Pameran bermula semalam hingga 26 April ini diadakan di Dewan Budaya Rayan, Jalan Tun Perak di sini mulai 10 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma.
Nolee Ashilin berkata pameran berkenaan merupakan satu daripada strategi pemasaran yang unik untuk Perak.
Menurutnya pameran berkenaan adalah sebahagian daripada acara Festival of India 2015 yang julung kali diadakan di negara ini berlangsung dari pertengahan Mac hingga akhir Jun depan.
Festival of India 2015 yang dianjurkan Suruhanjaya Tinggi India menampilkan kekayaan budaya India melalui pelbagai acara yang diadakan di beberapa bandar dan bandar raya seperti Ipoh, George Town, Sungai Petani, Seremban, Melaka, Johor Baharu, Kota Baharu, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin berkata Balai Seni Visual Negara bakal diwujudkan di Perak menjelang akhir tahun ini.
“Kami akan mengadakan pameran yang pertama khas untuk pelukis-pelukis di Perak bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah,” katanya. – BERNAMA