PENAMA CITY – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Raul Castro bakal mencatatkan sejarah apabila kedua-duanya dijadual mengadakan rundingan buat kali pertama membabitkan ketua negara AS dan Cuba sejak tahun 1950-an.
Obama dan Castro kini di Panama untuk menyertai Sidang Kemuncak Benua Amerika selama dua hari. Cuba turut mencatatkan hari bersejarah susulan pengumuman pada 17 Disember tahun lalu bahawa kedua-dua negara akan kembali mengadakan hubungan yang terputus sejak 1961.
“Pasti kita menjangkakan kedua-dua mereka akan menggunakan peluang bertemu di sidang kemuncak esok (hari ini) bagi memulakan perbincangan,” kata penasihat kanan Obama, Ben Rhodes memberitahu pemberita hari ini.
Beliau berkata, sambungan perbincangan itu bagaimanapun belum diputuskan lagi namun kedua-dua pemimpin akan mencetuskan rundingan awal dalam misi mengeratkan semula hubungan, selain membuka semula pejabat kedutaan.
Pertemuan itu adalah yang pertama sejak Obama dan Raul berjabat tangan ketika pengebumian Nelson Mandela pada Disember 2013.
Rundingan rasmi terakhir antara AS dan pemimpin Cuba pada 1956, apabila Presiden Dwight Eisenhower menemui pemimpin diktator Cuba, Fulgencio Batista, yang kemudian digulingkan oleh Fidel Castro tiga tahun kemudian.
Pertemuan yang terakhir itu juga berlaku di Panama. Rhodes berkata, Obama dan Raul sebenarnya sudah berbincang mengenai beberapa soal bersama dan isu pada sidang kemuncak itu ketika kedua-duanya berbual menerusi panggilan telefon, Rabu lalu.
Perbualan telefon pertama mereka pada Disember, iaitu sebelum pengumuman bahawa AS-Cuba akan memulakan kembali hubungan diplomatik. – AFP
