CHEF selebriti Nik Michael Imran mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati, Nadiah Shahril pada November ini.
Memetik laporan sebuah akhbar harian, Nik berkata kini mereka sedang sibuk membuat persiapan menjelang hari bahagia itu.
Walau bagaimanapun, Nik awal-awal mengatakan tiada sebarang undangan kepada pihak media sempena majlis perkahwinannya itu kelak.
“Ya, saya memang akan berkahwin pada bulan November nanti, namun tarikh sebenar majlis itu menjadi rahsia. Saya kira biarlah perkara itu menjadi rahsia kedua-dua belah keluarga sahaja.
“Terus-terang majlis itu akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak. Saya juga ingin memaklumkan bahawa memang tidak menjemput wartawan atau akan mendapat sebarang liputan daripada pihak media kerana menganggap diri saya hanya seorang tukang masak dan bukan tergolong dalam golongan artis,” katanya.
Pemilik restoran PickNik di Publika ini juga mengatakan dia sendiri bakal menentukan menu hidangan yang bakal disajikan buat para tetamu pada majlis resepsinya nanti.
Tahniah in advance buat Nik dan bakal isteri! – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  IMANI

