MELAKA – Lanskap Malaysia menyasar untuk menanam 20,000 batang pokok hutan di seluruh negara bernilai kira-kira RM600,000 menerusi program ‘Hutan Kita’ menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Othman Sulieman berkata, sehingga kini pihaknya berjaya menanam 10,000 pokok hutan melalui program berkenaan di beberapa negeri termasuk Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.
Beliau berkata, antara pokok yang ditanam termasuk beruas, balau pasir, sekiat, pelong licin, mata pelanduk, kandis, kelat paya dan pupor.
“Inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri ini bertujuan menyokong dan membantu usaha kerajaan memelihara serta memperbanyak jaringan lanskap semula jadi negara,” katanya selepas Majlis Hutan Kita@Tepian Sungai Malim sempena sambutan Hari Melaka Bandaraya Bersejarah ke-12 di sini, hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan melibatkan masyarakat, komuniti setempat, pelajar pelbagai peringkat umur.
Majlis penanaman 500 batang pokok hutan berkenaan disempurnakan Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Mohd Derus Che Mat.
Othman berkata, Lanskap Malaysia juga dijangka akan menyerahkan 5,000 pokok hutan untuk ditanam menerusi program Hutan Kita yang akan dilaksanakan MBMB secara berperingkat tahun ini.
Beliau berkata sehingga kini kira-kira 75,000 batang pokok hutan telah berjaya ditanam di seluruh negara sejak 2009.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini turut memberi perhatian pada tanaman pokok perubatan melalui program ‘Kebun Ramuan’ yang telah mula dilaksanakan di beberapa sekolah di negara ini sejak 2013.
Beliau berkata program berkenaan bertujuan memupuk minat pelajar sekolah terhadap tanaman perubatan seperti halia, misai kucing, lengkuas, tongkat ali, mas cotek dan mahkota dewa sebagai tanaman lanskap alternatif yang mampu menjana pendapatan.
“Tanaman pokok perubatan ini mampu memberi pulangan tinggi kerana ia mempunyai pasaran bagi tujuan perubatan dan digunakan dalam kehidupan harian,” katanya. – BERNAMA

