MELAKA – Kementerian Kesihatan sedang berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M) bagi menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat terutamanya di kawasan pedalaman, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata kementerian mengenal pasti masalah yang dihadapi KB1M dalam menyediakan perkhidmatan di kawasan pedalaman antaranya kenderaan yang sesuai seperti pacuan empat roda.
“Kita telah minta supaya peruntukkan tambahan diberikan supaya kita boleh ke kawasan yang memerlukan perkhidmatan kesihatan ini dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jadi saya memang akui ada keperluan untuk meningkatkan perkara ini (kualiti perkhidmatan KB1M) dan kita akan mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan di AEON Bandaraya Melaka di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati tempoh pemeriksaan dan rawatan pesakit KB1M menggunakan bas dan bot di kawasan terpinggir, masih kurang memuaskan.
Subramaniam berkata kementeriannya juga telah menggunakan pelbagai kaedah untuk memberikan kemudahan kesihatan kepada rakyat di kawasan pedalaman termasuk menggunakan helikopter di Sabah dan Sarawak.
“Kita menggunakan pelbagai kaedah supaya semua rakyat boleh terima kemudahan kesihatan ini tanpa mengira tempat tinggal mereka dan saya sedia maklum ada kelemahan terhadap kaedah ini, semua kaedah ini kita tingkatkan daripada semasa ke semasa supaya menjadi lebih berkesan.
“Bagaimanapun kita juga kena faham kerajaan ada hadnya misalnya daripada segi kewangan, namun kita akan berusaha sedaya upaya supaya kesihatan rakyat dapat dijaga dengan baik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kes denggi di negara ini mencatat penurunan kepada 1,500 kes minggu lepas berbanding lebih 3,000 kes, awal tahun ini.
“Penurunan ini memuaskan tetapi masih terlalu awal untuk kata ia kekal atau sementara sahaja, lebih kurang 60 peratus kes denggi ini dilaporkan terjadi di Selangor. Jadi jika kita selesaikan masalah denggi di Selangor, setidak-tidaknya kita telah menyelesaikan isu denggi (secara keseluruhannya). – BERNAMA