KUALA LUMPUR – “Bagaimana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu mencapai status bertaraf antarabangsa jika bekalan air pun tidak dapat dipastikan mencukupi,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming.

Beliau mendakwa menerima aduan daripada beberapa wakil persatuan mahasiswa UKM lima daripada 13 kolej di UKM mengalami gangguan bekalan air selama tiga minggu.
Malah, dakwanya, semalam beliau diberitahu empat kolej kediaman iaitu Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Keris Mas dan Kolej Burhanuddin Helmi masih tidak mempunyai bekalan air.
“Pihak UKM terpaksa menghantar lori air untuk membekalkan air ke kolej-kolej ini.
“Bagaimana kita boleh bercakap tentang aspirasi universiti tempatan untuk mencapai status bertaraf antarabangsa apabila kita tidak dapat memastikan bahawa universiti-universiti mempunyai bekalan air yang mencukupi,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kian Ming mendakwa, gangguan bekalan air yang serius di UKM telah berlaku sejak 10 tahun lalu dan antara alasan diberikan, UKM terletak di kawasan tanah tinggi yang mengurangkan tekanan bekalan air.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa pengurusan UKM tidak menggunakan perbelanjaan pembangunannya untuk menaik taraf infrastruktur pembekalan air di universiti berkenaan.
“Menurut anggaran belanjawan 2014, sejumlah RM74.1 juta, RM61.5 juta dan RM46.8 juta perbelanjaan pembangunan telah diperuntukkan kepada UKM untuk tahun 2011-2012, 2013 dan 2014 masing-masing.
“Mengapa sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan ini tidak digunakan untuk menaik taraf sistem paip dalam UKM?” soal beliau.
- MYNEWSHUB.CC

