KUALA LUMPUR – Astro Malaysia Holdings Bhd menjangka aplikasi penstriman radio dan muzik yang baru dilancarnya, Raku, menarik 500,000 pengguna aktif.
Ketua Pegawai Operasinya Henry Tan berkata kumpulan media itu menetapkan masa enam bulan untuk menilai respons pasaran terhadap aplikasi baharu itu.
“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran, terutamanya dari segi hasil,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan baharu itu, di sini, hari ini.
Telefon pintar, tablet dan pengguna komputer boleh memuat turun aplikasi itu daripada laman web Raku, Raku.my, Google Play dan iTunes Store.
Mereka boleh memilih muzik kegemaran mereka, program radio dan podcast (fail media digital) secara percuma atau memilih perkhidmatan premium dan mula mewujudkan stesen radio dan playlist mereka sendiri dengan harga hanya RM14.90 sebulan.
Raku boleh mengakses berjuta-juta lagu antarabangsa dan tempatan, podcast dan kandungan tempatan seperti komedi, berita, sukan dan maklumat terkini trafik. – BERNAMA