KUALA LUMPUR – Wakil rakyat DAP memuji langkah kerajaan Johor untuk mewartakan 15 kawasan tadahan air dan empangan di negeri itu sebagai kawasan larangan bagi memelihara kawasan itu daripada terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, langkah itu satu usaha yang wajar da perlu dijadikan suatu agenda yang mustahak bagi kerajaan Johor supaya sumber air di negeri itu terjamin.
“Pada 2 April, rakyat Johor dikejutkan oleh kejadian di mana bekalan air 250,000 penduduk di ibu kota negeri terputus disebabkan penutupan loji rawatan Semanggar dan Sungai Johor akibat tumpahan minyak diesel di kawasan hulu Sungai Johor.
“Kejadian ini adalah petanda dan amaran yang terjelas untuk kita supaya mengambil tindakan menyeluruh membanteras kegiatan guna tanah yang tidak selaras dengan matlamat perlindungan sumber air. Tanpa air yang bersih dan selamat, apa-apa pembangunan ekonomi pun tidak akan berhasil dan tidak bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hong Pin berkata, tiada pihak boleh menafikan bahawa faktor iklim antara punca kemerosotan paras air tetapi kemusnahan kawasan tadahan serta pemantauan kegiatan guna tanah yang tidak mantap adalah penyumbang utama kemerosotan paras air itu.
“Oleh demikian, penguatkuasaan dan pemulihan di kawasan tadahan air harus dimulakan dengan seberapa segera yang mungkin supaya sumber air kita akan sentiasa terjamin,” katanya. – mynewshub.cc

